Campak ular tiada dalam modul, APM kesal
Hakim Rahman
Oktober 19, 2016 20:15 MYT
Oktober 19, 2016 20:15 MYT
Insiden campak ular dalam kolam ketika kem bina semangat yang viral baru-baru ini berlaku secara spontan dan diluar pengetahuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan berkata, penggunaan ular juga bukan sebahagian daripada modul latihan pasukan itu malah sebarang modul yang disediakan tidak melibatkan penggunan haiwan.
"Modul latihan itu disediakan pihak jabatan, cuma semasa pelaksanaan itu (tindakan) yang memasukkan ular tidak ada dalam kita punya perancangan dan di luar pengetahuan.
"Tiba-tiba sahaja ada seorang pembantu jurulatih mencampakkan ular dalam kolam latihan itu... ia bukan dalam pengetahuan atau bukan dalam perancangan APM sendiri," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Latihan berkenaan diadakan bertujuan membina kerjasama antara peserta bagaimana mereka menyeberang kolam berkenaan dalam keadaan basah.
Namun tindakan mencampak ular menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.
Kesal dengan kejadian itu, APM berjanji akan menyiasat punca bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku dan akan menilai kembali modul-modul latihan sedia ada bagi mengelak perkara itu berulang.
Mengulas lanjut Selamat berkata, pihak APM sudah bertemu kembali dengan guru dan pelajar sekolah terbabit dan mendapati pelajar berkenaan positif dan sedia untuk kembali mengikuti latihan.
"Berdasarkan maklum balas yang kita terima tiada kanak-kanak tersebut yang trauma, malah mereka seronok dan kalau boleh hendak sertai lagi modul yang akan datang dengan syarat tidak ada penggunaan ular," katanya.
Jurulatih APM yang terbabit dalam insiden itu kini digantung tugas sehingga siasatan selesai.