Campak ular: Polis tidak menolak wujud unsur penderaan - KPN
Astro Awani
Oktober 20, 2016 19:05 MYT
Oktober 20, 2016 19:05 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat unsur dera dalam kem latihan jati diri di Perak yang melibatkan sekumpulan murid dipaksa berjalan dalam kolam yang dicampak ular.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes terbabit kerana tidak wajar murid dikenakan latihan sedemikian.
"Pada hemat saya memang ada unsur penderaan sebab yang mengikuti program itu adalah pelajar sekolah bukannya komando.
"Kita sedang mencari perakam video berkenaan bukan untuk menahannya tetapi untuk mendapatkan maklumat dan gambaran mengenai kes itu," katanya selepas merasmikan Perpustakaan Bestari Samsung di Pusat Latihan Polis, (PULAPOL) di ibu negara pada Khamis.
Insiden anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mencampakkan ular ke dalam kolam itu berlaku sewaktu kem bina diri yang disertai 45 murid SK Beluru.
Rakaman video yang tersebar sejak beberapa hari lalu turut mendapat kritikan netizen yang menganggap tindakan itu boleh mendatangkan trauma kepada pelajar.
Bagaimanapun, APM Perak sudahpun menggantung 10 kakitangannya yang terlibat dalam video berkenaan.
Semua kakitangan itu juga tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam program kurikulum sekolah sehingga inkuiri selesai.