Campak ular dalam kolam, jurulatih APM disiasat

Bernama
Oktober 18, 2016 21:20 MYT
Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menyiasat tindakan empat jurulatihnya yang mencampak ular ke dalam kolam yang murid sekolah sedang menjalankan ujian bina diri.
Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman memberitahu Bernama pihaknya juga akan memanggil pembantu jurulatih untuk disoal siasat.
Beliau diminta mengulas mengenai rakaman video yang menjadi viral dan menerima kritikan netizen yang memperlihatkan beberapa murid menangis dan menjerit-jerit setelah dicampak ular semasa mereka menjalankan modul tersebut.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah murid untuk menguji keberanian mereka.
Seramai 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Mohd Noor berkata pembelajaran modul itu yang dijalankan sejak hampir empat tahun lepas telah digantung serta merta sehingga siasatan lanjut mengenai kejadian itu selesai.
"Penggantungan dibuat bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelanggaran operasi prosedur standard (SOP)," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan ular walaupun tidak berbisa, pertama kali dilakukan.
"Ia tidak boleh dipandang remeh. Hasil siasatan setakat ini mendapati jurulatih tersebut terpengaruh dengan modul latihan yang terdapat dalam YouTube.
"Biarpun semasa insiden itu, guru pengiring berada di tepi kolam dan mengakui pelajar mereka ceria selepas melalui modul itu, namun ia bukan dasar APM dan ia tidak dibenarkan," katanya. - Bernama
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #jurulatih #kolam #ular
;