Campak kerusi: Dua NGO lapor polis

Bernama
Januari 19, 2018 16:28 MYT
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat. - Gambar fail
Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis susulan kejadian seorang remaja lelaki maut dihempap sebuah kerusi pejabat yang dicampak dari tingkat atas pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, di sini, Isnin lalu.
Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) sepakat berpendapat tindakan individu tidak bertanggungjawab itu adalah perkara yang tidak boleh dimaafkan.
Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay berkata tindakan sekeras-kerasnya perlu diambil terhadap individu terbabit.
"Ini bukan sahaja isu mencemarkan persekitaran pangsapuri, tetapi telah menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 8.10 malam itu, mangsa S. Sathiswaran, 15, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun pihaknya masih menyiasat perkara itu dari semua sudut.
-- BERNAMA
#Amir Amsaa Alla Pitchay #campak #Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia #IRIMM #kerusi #laporan polis #maut #NGO #Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia #PPR #remaja #Rusdi Mohd Isa
;