Campak cucu dari apartmen: Saksi dengar pertengkaran
Bernama
November 29, 2020 18:58 MYT
November 29, 2020 18:58 MYT
KUALA LUMPUR: Saksi kejadian kanak-kanak maut dipercayai dicampak dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Danau Kota di sini, mendakwa mendengar bunyi bising dan pertengkaran sebelum insiden tragis itu berlaku.
Idayu Ismail, 24, berkata selepas mendengar bunyi bising pada kira-kira 8 pagi, beliau membuka pintu sedikit lantas mengintai dan terlihat dua wanita dipercayai ahli keluarga suspek kes itu berada di tangga berhadapan unit pangsapurinya, sedang meminta tolong.
“Saya terdengar mereka meminta tolong dan tengok isteri suspek berada dalam keadaan bogel dan berlumuran darah, menyebabkan saya segera menghubungi polis,” katanya kepadanya pemberita di sini, hari ini.
Seorang lagi saksi Maimun Ismail, 41, berkata dia dan adiknya membantu menutup tubuh seorang wanita dipercayai isteri suspek yang tidak berpakaian dan diberitahu suspek masih bersama cucu tirinya itu di dalam rumah.
Idayu mendakwa, tidak lama kemudian kedengaran bunyi sesuatu dicampak ke bawah, dan boleh didengar dari unit pangsapurinya yang terletak di tingkat bawah.
“Suspek didapati membaling telefon bimbitnya ke bawah dan mencampak cucu tirinya itu melalui tingkap kediamannya di tingkat tiga, sebelum suspek terjun dari tingkap yang sama,” katanya.
Suspek mengalami kecederaan akibat terjunannya dari tingkat tiga dan ditahan oleh penduduk setempat dan pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan, sebelum diserahkan kepada polis yang kebetulan baru tiba.
Ekoran kejadian itu, seorang suspek lelaki warga Nigeria berusia 42 tahun ditahan, kerana dipercayai mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga sebuah pangsapuri.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila suspek dikatakan cuba merogol seorang daripada anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun iaitu mangsa yang maut.
Suspek dilaporkan memukul cucu tirinya itu sehingga lemah-longlai, sebelum mencampaknya ke luar tingkap di bilik utama selepas dihalang isterinya dan tiga anak tirinya yang lain. - BERNAMA