Campak cucu dari apartmen: Lelaki Nigeria dipercayai ada masalah mental - Polis

Astro Awani
November 30, 2020 18:00 MYT
Dia dipercayai berang selepas cubaan itu dihalang ahli keluarga yang lain sebelum memukul cucu tirinya itu sehingga lemah-longlai, lalu mencampaknya ke luar tingkap di bilik utama. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lelaki Nigeria yang disyaki mencampak cucu tirinya berusia empat tahun sehingga maut dari tingkat tiga sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setapak di sini pada pagi Ahad, dipercayai mengalami masalah mental.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata maklumat itu diperolehi hasil keterangan keluarga dan rakan suspek berusia 42 tahun itu.
"Difahamkan dia ada masalah penyakit mental dan mengambil ubat bagi penyakitnya itu. Bukan dadah. Tiada rekod dadah. Keluarga dan rakan kata (dia ada penyakit mental)," katanya di sini, hari ini.
BACA: Marah tak dapat rogol anak tiri, lelaki Nigeria campak cucu hingga maut di Wangsa Maju
BACA: Campak cucu dari apartmen: Saksi dengar pertengkaran
Beliau berkata, suspek sudah direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Saiful berkata, tiga orang iaitu isteri suspek, anak kandung mereka dan anak tirinya yang hampir dicabul dalam kejadian itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Beliau berkata, polis turut menyiasat kesahihan dakwaan suspek terbabit dengan ajaran sesat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Seksyen 307 dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 8 pagi semalam, suspek dipercayai cuba merogol anak perempuan tirinya berusia 24 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun iaitu mangsa yang maut.
Dia dipercayai berang selepas cubaan itu dihalang ahli keluarga yang lain sebelum memukul cucu tirinya itu sehingga lemah-longlai, lalu mencampaknya ke luar tingkap di bilik utama.
#campak cucu #tingkat tiga #apartmen #Danau Kota #Setapak #lelaki Nigeria #cuba rogol anak tiri #masalah mental #Saiful Azly Kamaruddin
;