Cameron Highlands, Bukit Fraser antara kawasan pelancongan dipantau Polis Pahang
Bernama
Mac 17, 2021 18:28 MYT
Mac 17, 2021 18:28 MYT
KUANTAN: Polis Pahang akan meningkatkan pemantauan di kawasan pelancongan negeri ini susulan aktiviti sektor berkenaan sudah dirancakkan semula.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata selain bandar Kuantan, lokasi lain seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser serta Taman Negara dijangka menerima kunjungan orang ramai dan pihaknya akan melaksanakan pemantauan ketat dalam mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.
"Kita mengharapkan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara terhadap aktiviti pelancongan ini.
"Polis juga masih menjalankan sekatan jalan raya 24 jam sehari di 12 lokasi terutama di sempadan negeri antaranya di Rompin, Bera, Bentong dan Kuantan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan pasukan di Dataran Kawad Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia Alor Akar, di sini hari ini.
Ditanya mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Tioman yang bermula semalam hingga 29 Mac ini, beliau berkata pelancong tempatan yang terkandas di lokasi berkenaan akan diuruskan oleh pejabat daerah dan kerajaan negeri.
"Sekiranya bergejala, mereka akan dibawa ke pusat kuarantin atau hospital bagi pemantauan. Selain itu, kita juga masih mengesan tujuh individu bagi membantu siasatan punca penularan wabak berkenaan di pulau tersebut," kata Abd Jalil.
Selain itu katanya sejak 11 Mac lepas, seramai 24 individu telah dikenakan kompaun RM10,000 di negeri ini, masing-masing 18 di Kuantan dan enam di Bentong.
Sementara itu, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap tindakan pantas anggotanya, Ketua Balai Bukit Tinggi Sarjan Mejar Maznan Omar yang menyelamatkan seorang remaja perempuan daripada cubaan terjun dari jejambat di Kilometer (Km) 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira 215 km, dari sini semalam.
Video Maznan menyelamatkan remaja berusia 16 tahun itu dengan menarik remaja tersebut dari belakang sebelum anggota lain membantu memegang mangsa, turut tular di media sosial dan mendapat pujian ramai.
Terdahulu, Abd Jalil dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kerajaan dengan penambahan 40 kenderaan bagi kontinjen Pahang iaitu Hilux GS Kargo sebanyak 28 buah, lapan motosikal Kawasaki GTR 1400 cc, tiga Mitsubishi Triton dan sebuah Toyota Hilux.
Abd Jalil turut mengingatkan anggotanya supaya menggunakan aset itu dengan cermat dan berhemah, selain menyelenggara kenderaan tersebut mengikut tarikh yang ditetapkan agar dapat digunakan lebih lama.
"Ketua-ketua jabatan atau cawangan juga diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kenderaan tersebut tidak disalah guna misalnya untuk urusan peribadi," tegasnya.
-- BERNAMA
#Cameron Highlands
#Bukit Fraser
#Taman Negara
#Kuala Tahan
#Kuantan
#Genting Highlands
#Polis Pahang
#tingkat pemantauan
#pemantauan
#PKP
#sektor pelancongan
#COVID-19