Calon TPM perlu ikhlas, mampu rapatkan jurang antara komponen PN, akar umbi
Abd Hadi Che Awang
Februari 20, 2021 17:15 MYT
Februari 20, 2021 17:15 MYT
ALOR SETAR: Calon yang akan dilantik bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) perlu memiliki keperibadian yang ikhlas dan menjadi individu yang mampu merapatkan jurang antara parti komponen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani berkata, calon yang akan dilantik juga perlu memiliki kewibawaan dalam bersama-sama akar umbi dalam membawa suara kepentingan rakyat.
"Kami mengalu-alukan jika ada cadangan (calon TPM) seperti ini, agar calon yang dicadangkan itu dapat merapatkan jurang antara parti komponen agar kita dapat bergerak bersama, untuk kepentingan rakyat keseluruhan.
"Kami juga berharap calon dapat memberi kerjasama yang baik dan seorang calon yang benar-benar mempunyai kewibawaan dan keikhlasan untuk bersama ahli-ahli akar umbi,” kata Dzowahir.
Sementara itu, beliau berkata, akar umbi terutama dari Bersatu sentiasa menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu untuk menggunakan kebijaksaannya dalam mebuat sebarang keputusan.
Kebijaksanaan itu, katanya, termasuk hak pregoratif yang dimiliki Perdana Menteri dalam melantik dan menentukan mana-mana calon untuk mengisi jawatan timbalan beliau.
Dalam perkembagan berasingan, Dzowahir berkata, gabungan PN yang dibentuk bersama PAS terutama di Bahagian Alor Setar telah memulakan gerak kerja menjelang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).
Gerak kerja itu termasuklah penubuhan organisasi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan dibantu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah sebagai Naib Pengerusi 1 dalam merencanakan pelbagai strategi di peringkat negeri.
#calon Timbalan Perdana Menteri
#Timbalan Perdana Menteri
#Perikatan Nasional
#Bersatu
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Kedah
#Badan Perhubungan Negeri
#Dzowahir Abdul Ghani