Calon Timbalan Speaker DUN Selangor dipilih secara konsensus - Amirudin
Bernama
Jun 25, 2020 09:00 MYT
Jun 25, 2020 09:00 MYT
Parti komponen Pakatan Harapan sedang meneliti calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kata Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PH Negeri, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata gabungan itu akan membuat keputusan secara konsensus dalam kalangan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi mengisi jawatan itu berikutan peletakan jawatan Dr Daroyah Alwi, yang keluar PKR pada 13 Jun lepas.
"Ya, Dr Daroyah telah menghantar surat peletakan jawatannya pada 16 Jun dan kita (PH) akan mencari pengganti beliau," katanya ketika ditanya sama ada Dr Daroyah, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.
DUN Selangor dijadual mengadakan persidangan pada 13 Julai ini.
Terdahulu, Amirudin menghadiri majlis pelancaran web portal Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) dan Sistem Aplikasi SELDEC Rider di sini.
Mengulas kesan Dr Daroyah keluar parti bersama 35 pemimpin lain di peringkat cabang, negeri dan pusat, Amirudin, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, berkata tindakan itu tidak menjejaskan PKR.
"Tindakan Dr Daroyah ini kita boleh anggap seperti riak-riak kecil sahaja. Kita (PKR) telah melalui banyak peristiwa di mana pemimpin keluar parti, sebelum ini, dua timbalan presiden dan ketua wanita keluar parti, tetapi kita masih kekal dengan perjuangan," katanya.
Sebelum ini, Dr Daroyah, yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, mengumumkan keluar daripada parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).
-- BERNAMA
#ADUN
#ADUN Bebas
#ADUN Sementa
#Amirudin Shari
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Daroyah Alwi
#DUN Selangor
#keluar parti
#letak jawatan
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pengganti
#PKR
#Timbalan Speaker DUN