Calon Timbalan KPN diumum sehari dua lagi - Hamzah
Bernama
Jun 10, 2021 20:46 MYT
Jun 10, 2021 20:46 MYT
SEPANG: Nama Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu akan diumumkan sehari dua lagi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata cadangan nama calon jawatan nombor dua dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diberikan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pertimbangan.
"Sudah kita beri cadangan dan insya-Allah ia akan umumkan tidak lama lagi iaitu sehari dua lagi boleh kita umumkan (Timbalan Ketua Polis Negara)," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan mesra di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan Muhyiddin bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam, Hamzah, yang juga Setiausaha Agung Bersatu, berkata ia adalah perjumpaan mewakili kerajaan dan bukan perjumpaan sebagai presiden Bersatu.
-- BERNAMA