Calon SPM maut kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
Februari 7, 2023 20:10 MYT
Februari 7, 2023 20:10 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diadakan minggu hadapan apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Taman Intan, dekat sini, hari ini.
Mangsa Lee Yi Hong, 17, pelajar Sekolah Menengah Tengku Ismail maut ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam kejadian jam 7.05 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dikatakan dalam perjalanan ke sekolah.
“Sebaik tiba di tempat kejadian seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun lintas jalan secara melulu membuatkan mangsa terkejut dan cuba mengelak.
“Mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat melanggar warga emas terbabit mengakibatkan mangsa terjatuh di atas jalan dan motosikal mangsa meluncur melanggar bahagian belakang kereta Proton X70 yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, selepas pelanggaran itu mangsa terus di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan dimasukkan ke Wad Kecemasan.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada jam 12.35 tengah hari ketika sedang dirawat selepas mengalami kecederaan di kepala dan badan.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Zaidy berkata siasatan awal polis, kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang tidak berhati-hati sewaktu melintas jalan.