Calon SPM cedera di mata, kenderaan dipandu terbakar
Rudi Affendi Khalik
November 18, 2019 12:03 MYT
November 18, 2019 12:03 MYT
Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri selepas keretanya terbakar dalam satu insiden di Jalan Lapangan Terbang di sini pagi Isnin.
Mangsa yang dalam perjalanan ke sekolahnya sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum menyedari kereta dipandunya berasap.
Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.39 pagi.
Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS kemudian diatur gerak ke lokasi serta-merta dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Batu Lintang dengan kekuatan 11 anggota.
"Kebakaran menyebabkan kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa musnah sama sekali.
"Api berjaya dikawal 11 minit kemudian manakala operasi pemadaman tamat pada jam 7.15 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Kata Ling Hii, mangsa mengalami luka pada bahagian mata dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan EMRS.