Calon SPM 2020 di Sabah hadir dengan semangat juang pada hari pertama peperiksaan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 22, 2021 09:34 MYT
Februari 22, 2021 09:34 MYT
KOTA KINABALU: Debaran jelas dirasakan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM 2020 di Sabah.
Bagi pelajar di Sekolah Menengah Maktab Sabah, selepas mengharungi cabaran pembelajaran dalam talian, mereka hadir dengan semangat juang pada hari pertama peperiksaan tersebut.
Menurut pelajar di SM Maktab Sabah, Amsarey Sabry, beliau akui debaran menduduki peperiksaan memang terasa.
Bagaimanapun dia yakin dengan persediaan yang telah dilakukan sebelum ini.
"Debar jugalah sikit, sebab kita sudah belajar lama, jadi saya bersedialah.
"Kami sudah berusaha sehabis baik yang kami cuba dan insya-Allah, kami akan berusaha dengan cemerlang.
"Kepada rakan-rakan seperjuangan kami, good luck and all the best. Buat yang terbaik.
"Ingat ibu bapa, ingat Allah, ingat cikgu-cikgu. Semoga mendapat keputusan yang cemerlang," kata Amsarey.
Perasaan sama turut dikongsi Dayang Niza Syahirah Awang.
"Saya rasa gementar, sebab ini kan SPM.
"Alhamdullillah, saya okey banyak masa untuk belajar kelas dalam talian.
"Saya harap semua pelajar SPM dapat keputusan yang cemerlang," kata Dayang Niza.
Bagi bapa calon, Pengiran Indra Pengiran Tinggal, dia tidak menafikan perbezaan ketara dalam cabaran yang dihadapi para pelajar pada tahun ini.
Namun, dia tetap mengharapkan yang terbaik bagi semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pagi ini.
"Kita berharap agar anak-anak yang menghadapi peperiksaan ini, bukan sahaja anak saya, malah semua anak-anak yang menduduki peperiksaan, mereka berjaya menghadapinya.
"Kerana peperiksaan tahun ini penuh cabaran dengan sistem dalam talian dan pandemik COVID-19," kata Pengiran Indra.
Sejumlah 33,503 pelajar di Sabah menduduki SPM 2020 hari ini.
#Sijil Pelajaran Malaysia
#SPM 2020
#calon peperiksaan
#Dayang Niza Syahirah Awang
#Amsarey Sabry
#COVID-19
#normal baharu