Calon perlu peka pembangunan luar bandar, tarik belia pulang bekerja - Majlis Belia
Faida Rahim
Ogos 1, 2023 09:30 MYT
Ogos 1, 2023 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bukan sahaja peluang pekerjaan, calon bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu memikirkan secara menyeluruh tentang pembangunan infrastruktur, utiliti dan perkhidmatan di kawasan masing-masing.
Ketua penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Fazril Salleh memberitahu kesemua aspek ini penting untuk menarik belia yang merantau pulang berkhidmat di kampung halaman.
"Kerana itu nanti apabila kita nak panggil balik anak-anak di perantauan untuk kembali ke kampung masing-masing, ke negeri masing-masing untuk transfer service, pemikiran, kemahiran didapatkan di luar negeri kita, itu akan sesuai dengan infrastruktur yang ada," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin.
Tambah beliau, bukan sahaja aspek ketahanan ekonomi termasuk mencipta peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah, calon juga perlu bertahan di saat rakyat memerlukan.
Sementara itu, ekonomi dibangunkan harus bersifat tidak berat sebelah iaitu hanya memenangkan sesetengah pihak, tidak memangsakan rakyat dan lebih manusiawi.
"Polisi dasar Kerajaan ini memang sangat utama, bagaimana kawasan-kawasan di luar bandar itu harus naik ke tingkat sewajarnya bagi pembangunan desa.
"Kita ada banyak model, baik model dalam negara atau peringkat international bagaimana pembangunan desa dilakukan dibangunkan.
"Dalam masa sama kondisi di Kelantan dan sebelumnya di Negeri Sembilan pastinya ada perbezaan dua negeri ini menunjukkan kawasan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nya rendah. Saya bagi contoh KDNK benar bagi Kelantan sejak 1970 an sampai sekarang ini antara yang terendah dalam data yang kita peroleh.
"Manakala di Negeri Sembilan pula berbeza dari sudut itu. Barangkali ada banyak faktor yang harus kita perhatikan. Seperti saya sebut tadi, bagaimana potensi satu-satu kawasan itu benar-benar dikaji dibangunkan secara komprehensif. Jangan pukul rata satu polisi untuk semua kawasan boleh dijalankan," akhirinya.