Calon perlu ambil ujian psikometrik RBTag jika serius tangani rasuah

Sinar Harian
November 11, 2021 15:47 MYT
(Dari kiri) Halim, Nurhayati dan Rosmadi ketika sidang akhbar pelancaran ujian psikometrik RBTag di Kompleks Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Ahli politik negara termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diseru mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti masing-masing.
Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, calon yang serius untuk membanteras rasuah dalam politik negara seharusnya menggunakan peluang tersebut kerana ia bukan sahaja dapat menilai kredibiliti masing-masing, tetapi turut berupaya memberikan nilai tambah bagi memberikan keyakinan kepada pengundi.
Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan bersama Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) itu bukan bertujuan menjatuh atau melemahkan calon, tetapi sebaliknya ia adalah usaha untuk menunjukkan betapa seriusnya komitmen semua pihak dalam melawan rasuah.
“RBTag adalah mekanisme bagi mengenal pasti kredibiliti dan keupayaan calon melaksanakan tadbir urus dalam kepimpinan.
“Harga kepercayaan rakyat yang diletakkan ke atas bakal pemimpin yang dipilih adalah terlalu tinggi. Oleh itu, ujian ini dapat membantu menjadi alat ukur rakyat untuk menilai dan membuat pilihan mereka,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran Ujian Psikometrik RBTag di Kompleks Karangkraf pada Khamis.
Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak dan Felo Penasihat MCCF merangkap Pengarah Projek RBTag, Datuk Rosmadi Ghazali.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, sekarang adalah waktu yang sesuai untuk memperkenalkan amalan ujian tersebut dalam sistem demokrasi negara memandangkan ramai calon pada PRN Melaka terdiri daripada muka baharu.
Menurutnya, keputusan ujian psikometrik RBTag hanya akan diketahui oleh orang yang mengambil ujian berkenaan dan ia terpulang kepada individu tersebut sama ada mahu mengumumkan ataupun tidak.
"RBTag juga sangat mengambil berat terhadap ketelusan dan kerahsiaan maklumat bagi mana-mana individu yang mengambil ujian tersebut," katanya.
Sementara itu, Rosmadi berkata, ujian psikometrik RBTag yang dibangunkan berdasarkan kepada data saintifik dengan kadar kebolehpercayaan setinggi 90 peratus itu akan mengukur 10 ciri integriti iaitu spiritualiti, manipulasi, egoistik, projeksi, oportunis, integriti, jati diri, patriotisme, individualistik dan ketidakselarasan.
Menurutnya, ujian yang dibentuk berasaskan nilai dan psikologi masyarakat Malaysia itu dibangunkan oleh sekumpulan pakar pengujian psikometrik dan statistik dari tiga universiti universiti tempatan.
Rosmadi berkata, penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan yang lazim digunakan di negara yang berada di kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.
“Kalau kita lihat banyak negara lain menggunakan psikometrik ini dalam bidang yang berbeza mengikut kepada keperluan dengan kebanyakannya menjurus kepada agensi kerajaan, penguatkuasaan, pendidikan dan pekerjaan.
“Apa yang saya nak nyatakan di sini, ujian ini adalah cara yang terbukti berkesan untuk digunakan,” katanya.
Calon PRN Melaka atau mana-mana individu yang mahu mendaftar untuk menduduki ujian psikometrik RBTag dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012-7869261.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Sinar Harian
#PRN Melaka #ujian psikometrik #Rasuah Busters Tag RBTag #Norhayati Nordin #membanteras rasuah
;