Calon pengerusi debat 1MDB: Tun M, Dr Agus Yusoff pilihan netizen
Syafique Shuib
November 1, 2015 11:53 MYT
November 1, 2015 11:53 MYT
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff merupakan antara calon pilihan netizen yang dirasakan paling layak untuk mempengerusikan debat 1MDB.
Menerusi satu undian di akaun Twitter dan Facebook rasmi Astro AWANI, netizen kongsi siapa perantara yang layak jika debat 1MDB antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menjadi kenyataan.
Arul Kanda sebelum ini menyatakan kesediaan bagi menyahut cabaran Pua untuk mengadakan satu wawancara secara langsung di televisyen.
Antara nama lain yang disebut-sebut oleh netizen termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak dan bekas Pengerusi Media Prima Bhd Tan Sri Johan Jaafar.
Sementara itu, netizen yang dikenali sebagai Pradeesh mencadangkan agar individu yang bakal mempengerusikan debat tersebut adalah seorang profesor dalam sains politik dan bukan dari arena politik.
Dalam perkembangan lain, Pua turut melahirkan rasa teruja beliau apabila Arul Kanda menyahut cabarannya untuk sesi bual bicara secara langsung atau debat itu, tanpa sebarang syarat.
"Saya akan bertemu Arul buat kali pertama dan bertanya soalan-soalan yang rakyat Malaysia sudah lama menantikan jawapannya.
"Saya amat yakin bahawa pemenang terbesar daripada perbincangan secara langsung ialah rakyat Malaysia di luar sana yang kecewa, bingung dan mungkin keliru dengan penipuan yang kelihatan berlaku dalam 1MDB," kata Tony Pua dalam satu kenyataan.