Calon Kampung Baru Cina tapak Unesco bukan 'zero-sum game' - Kor Ming

Bernama
Februari 8, 2024 23:50 MYT
Pada Jun tahun lepas, Nga juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menegaskan cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bukanlah bermaksud pihaknya mengamalkan 'zero-sum game' atau memberi semua kelebihan kepada satu pihak sahaja.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap mendukung prinsip Malaysia MADANI yang menekankan enam nilai penting iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang menjadi tonggak dalam hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
"Saya telah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalahberlandaskan Rukun Negara dan saya berazam dan berhasrat untuk melaksanakannya 'walk the talk' (melaksanakan apa yang dikatakan).
"Oleh itu, segala tuduhan berkaitan saya atau kerajaan mencabar kepentingan orang Melayu dan Bumiputera seperti 'bagai rantai besi dimakan bubuk' adalah tidak masuk akal dan tidak benar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Nga dilaporkan berkata cadangan mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bertujuan mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang berusia 76 tahun, namun perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan Selangor.
Pada Jun tahun lepas, Nga juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
Mengulas lanjut, Nga berkata banyak inisiatif mesra rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa telah dilaksanakan oleh KPKT sepanjang tahun lepas, antaranya pihak kementerian memperuntukkan RM42 juta untuk membina rumah baharu serta membaik pulih 2,016 rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar di bandar.
"Selain itu, KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menambah baik 400 buah kuarters bomba di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta dan banyak lagi," katanya.
Nga berkata bagi memelihara identiti bandar diraja sebagai lambang kedaulatan negara, KPKT juga telah memperkenalkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja yang terpakai untuk sembilan bandar diraja di Semenanjung Malaysia yang merangkumi aspek warisan identiti, ekonomi dan pelancongan.
Beliau berkata KPKT juga telah bertindak pantas dalam proses permohonan menaik taraf status Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melibatkan dua PBT iaitu Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja dan Majlis Bandaraya Diraja Klang tahun lepas.
-- BERNAMA
#Kampung Baru Cina #tapak UNESCO #zero-sum game #Nga Kor Ming
;