Calon Isma bakal tanding PRU 13 atas tiket Berjasa

Astro Awani
Februari 17, 2013 12:58 MYT
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengumumkan akan bertanding di sembilan kawasan Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata semua calon bertanding akan menggunakan tiket Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa).
Jelasnya, keputusan untuk bertanding dibuat atas alasan mengangkat martabat perjuangan Islam dan kepentingan bangsa Melayu.
Ia bagi memastikan kestabilan negara, perjuangan bangsa dan masa depan rakyat terjamin.
"Calon-calon Isma masuk bertanding untuk menang, dan berharap dapat memainkan peranan kuasa ketiga sebagai pendesak, penentu dan pengimbang kuasa yang paksi politiknya ialah nasib dan masa depan umat Melayu Islam di Malaysia tanpa mengira blok politik mahupun sepadan kepartian" kata Abdullah Zaik.
Tegasnya, kawasan yang ditandinginya ialah majoriti terdiri daripada pengundi bukan Melayu.
Senarai calon telah dikenalpasti dan akan diumum sebaik Parlimen dibubar.
#Abdullah Zaik Abdul Rahman #Berjasa #Islam #ISMA #Melayu #PRU13
;