Calon Duta Besar Malaysia ke Indonesia sudah dimuktamadkan - Menteri Luar

Umavathi Ramayah
Januari 7, 2023 16:18 MYT
Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan sudahpun memuktamadkan nama calon Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan prosesnya berada di peringkat akhir, ketika ini. - Gambar Wisma Putra
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan nama Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan sudahpun memuktamadkan nama calon Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan prosesnya berada di peringkat akhir, ketika ini.
“Soal pelantikan calon Duta sudah pun hampir ke penghujung dan akan diumumkan Perdana Menteri tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia, di sini pada Sabtu.
Zambry, bagaimanapun, enggan mengulas ketika ditanya sama ada pelantikan itu melibatkan lantikan politik atau sebaliknya.
Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disenaraikan bagi mengisi jawatan itu.
Namun, namanya digugurkan selepas menyerang Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.
Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kosong selepas Datuk Zainal Abidin Bakar yang dilantik sebagai ketua perwakilan ke negara berkenaan pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021.
#Duta Besar Malaysia ke Indonesia #calon Duta Malaysia ke Indonesia #Zambry Abdul Kadir #Anwar Ibrahim #PM10
;