Calon DUN Bugaya Manis Muka dedah rahsia di sebalik nama
Bernama
September 16, 2020 12:53 MYT
September 16, 2020 12:53 MYT
Sebaik mendengar atau melihat namanya, pasti ramai yang tercari-cari dan ingin mengetahui siapakah empunya tuan badan pemilik nama seunik itu - Manis Buka Mohd Darah.
Rasa ingin tahu membawa wartawan Bernama untuk mengenali dengan lebih dekat figura berusia 65 tahun itu dan telah berkunjung ke kediamannya di Kampung Bugaya dekat sini baru-baru ini bagi mengetahui rahsia di sebalik nama yang barangkali hanya satu dalam sejuta.
Apabila diajukan soalan bagaimana beliau mendapat nama berkenaan, calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya itu, yang juga ibu kepada lima anak lelaki dan lima anak perempuan, tersenyum manis sebelum memulakan cerita.
"Sebenarnya nama ini adalah asal usul daripada nenek moyang saya kerana dulu di kepulauan (sebuah pulau di Semporna) itu, wanita tercantik namanya Manis Muka. Sebab itu arwah ibu bapa saya memberikan saya nama Manis Muka," katanya.
Bagaimanapun, beliau yang lebih popular dengan panggilan 'Manis Muka' dalam kalangan masyarakat Semporna dan Sabah amnya, berkata berlaku kesilapan ketika pendaftaran apabila nama Manis Muka yang sepatutnya didaftarkan telah tersalah eja sehingga menjadi Manis Buka.
Disebabkan keunikan nama itu, Manis Muka berkata beliau sering menjadi tumpuan sejak sekolah rendah malah sering dicari oleh pelawat yang berkunjung ke sekolahnya.
"Saya menangis dan meminta arwah bapa menukar nama saya sebab saya selalu kena cari tapi bapa saya cakap jangan, kerana itu nama nenek moyang saya," katanya.
Begitu pun, Manis Muka tetap berbangga dengan keunikan namanya kerana ia berjaya memperkenalkan diri beliau kepada ramai pemimpin tertinggi UMNO sewaktu menyertai parti itu sebelum ini.
"Pernah suatu ketika saya terdengar sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata (beliau) mahu mencari siapa perwakilan yang namanya Manis Buka ini sebab ini nama ganjil... sedangkan dia tidak sedar saya berada di belakangnya," katanya.
Manis Muka, yang mempertahankan kerusi DUN Bugaya, berdepan pertandingan tujuh penjuru dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon bebas.
Katanya ini merupakan kali pertama kawasan itu menyaksikan pertandingan sehingga tujuh penjuru namun beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih banyak kali ini.
Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985 dan pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Semporna, Manis Muka kini merupakan Ketua Wanita Warisan Semporna.
-- BERNAMA
#calon
#DUN Bugaya
#kesilapan
#Manis Buka
#Manis Muka
#nama
#perpaduan
#politik
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#salah eja
#sekolah
#Semporna
#tumpuan
#UMNO
#unik
#wanita
#Wanita UMNO
#Warisan