Calon berkelayakan dipelawa isi jawatan utama di Pejabat AI Kebangsaan - Gobind

Bernama
Oktober 7, 2024 17:02 MYT
Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) bermatlamat berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat yang bertanggungjawab dalam memajukan agenda AI Malaysia. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Digital mempelawa calon berkelayakan untuk mengisi jawatan utama di Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) yang baru ditubuhkan.
Pejabat berkenaan bermatlamat berfungsi sebagai pihak berkuasa pusat yang bertanggungjawab dalam memajukan agenda AI Malaysia dan meletakkan negara sebagai pengaruh penting dalam landskap digital serantau.
Jawatan terbabit antaranya ketua pegawai eksekutif, Pengarah Makmal Dasar AI dan Pengarah Pertukaran Inovasi AI.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata calon yang sesuai akan mempunyai peluang unik untuk memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan AI di Malaysia dan memimpin usaha untuk mengukuhkan status Malaysia sebagai pengaruh utama dalam bidang AI di rantau ini.
"AI adalah pemangkin untuk masa depan Malaysia, dan kami (Kementerian Digital) mencari pemimpin dinamik yang bersedia untuk memberi sumbangan kepada kemajuan negara dan serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kekosongan jawatan terbabit diiklankan sejak 30 Sept lepas dan tarikh tutup permohonan ialah pada 11 Okt ini.
Maklumat lanjut berkaitan NAIO dan untuk memohon jawatan itu layari https://www.mydigital.gov.my/initiatives/the-national-ai-office-naio/
-- BERNAMA
#calon berkelayakan #Pejabat Kecerdasan Buatan AI Kebangsaan #Gobind Singh Deo #mengisi jawatan utama #Kementerian Digital
;