Calon Bebas alternatif terbaik, tidak perlu rosakkan undi - penganalisis
Astro Awani
April 13, 2018 10:48 MYT
April 13, 2018 10:48 MYT
Fenomena merosakkan undi tidak harus diteruskan lagi, kerana calon Bebas adalah pilihan yang 'viable' bagi pengundi.
Ini ujar Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Muzaffar Syah Mallow.
Menurut beliau, calon Bebas adalah alternatif yang perlu diberi perhatian yang lebih oleh para pengundi.
"Bagi pengundi yang sudah bosan dengan semua parti politik yang ada dalam negara, calon Bebas boleh menjadi satu pilihan atau alternatif yang menarik buat mereka," kata Muzaffar.
"Walaupun agak sukar untuk calon Bebas membentuk kerajaan, namun kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat memberi lebih banyak pilihan kepada para pengundi serta pada masa yang sama boleh memastikan mana-mana parti politik dominan yang memenangi proses pilihan raya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka," katanya lagi.
Sejarah telah membuktikan bahawa calon Bebas sukar untuk memenangi pertandingan di mana terdapat calon-calon parti besar seperti dari Barisan Nasional mahupun dari pembangkang.
Namun begitu, Muzaffar berkata, ini bukan kayu pengukur yang terbaik, kerana calon Bebas ada kelebihannya yang tersendiri.
"Calon Bebas mempunyai beberapa kelebihan dan kekuatan mereka yang tersendiri yang jarang orang lihat," kata Muzaffar.
"Pertama, mereka lebih Bebas untuk melakukan sebarang kerja, tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
"Kedua, calon Bebas dapat menawarkan pilihan calon yang berbeza daripada apa yang selalunya ditawarkan oleh parti-parti politik sedia ada.
"Ketiga, kehadiran calon Bebas di pentas politik sekurang-kurangnya dalam melakukan tugas 'Check & Balance' atau memeriksa dan mengawasi mana-mana kerajaan yang terpilih pada proses pilihan raya kelak," ujar beliau lagi.
Ini sekaligus mengurangkan tahap keyakinan serta sikap ego yang terlalu tinggi terhadap mana-mana kerajaan yang dipilih kelak, tambahnya.
Ini adalah penting bagi memastikan perjalanan pentadbiran negara dapat dilakukan dengan baik, demi faedah rakyat secara keseluruhannya
#barisan
#Bebas
#calon Bebas
#Gagasan
#harapan
#MalaysiaMemilih
#pakatan
#undi rosak
#undirosak
#Warisan