'Call centre' pelaburan tidak wujud diserbu, 40 ditahan

Bernama
April 5, 2024 21:34 MYT
Kumar berkata pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti tersebut antaranya 41 set komputer, 46 telefon bimbit, satu unit modem dan satu unit router. - Gambar fail/FB Polis Johor
JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai 40 individu dipercayai terbabit dengan sindiket yang menawarkan pelaburan tidak wujud setelah menyerbu sebuah premis perniagaan yang dijadikan sebagai 'call centre' atau pusat panggilan di sini, semalam.
Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata seramai 15 lelaki dan 25 wanita tempatan berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan jam 11.10 pagi itu dijalankan bersama polis kontinjen Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.
"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyasarkan mangsa dari luar negara. Mereka menawarkan pelaburan 'XTrade' melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
"Pelanggan dijanjikan pulangan lumayan antara 50 hingga 100 peratus daripada jumlah wang yang dilaburkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumar berkata pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti tersebut antaranya 41 set komputer, 46 telefon bimbit, satu unit modem dan satu unit router.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan syarikat tempatan berdaftar untuk beroperasi sekali gus mengaburi pihak berkuasa," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#call centre #Facebook #media sosial #pihak berkuasa
;