Cakna kepentingan ilmu, perkasa ummah faktor Sultan Nazrin dikagumi rakyat
Bernama
Januari 31, 2024 14:00 MYT
Januari 31, 2024 14:00 MYT
IPOH: Sifat Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah yang cakna terhadap ilmu pengetahuan amat disanjung warga institusi pendidikan tinggi di negara ini, menyifatkan Sultan Perak itu figura yang sangat mencintai ilmu.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata Sultan Nazrin dilihat sebagai jenama ilmu berdasarkan latar belakangnya yang terpelajar.
"Bukan hanya di UPSI, malah warga pendidikan di seluruh Malaysia juga, saya sangat berbangga dengan kesohoran baginda dalam bidang ilmu dan pendidikan.
"Tidak hanya terpelajar, sentiasa prihatin terhadap ilmu, tetapi baginda juga merupakan felo kehormat di beberapa institusi pendidikan bukan hanya di negara ini, malah juga universiti terkenal luar negara seperti Oxford," katanya kepada Bernama.
Tidak sekadar prihatin terhadap ilmu, Sultan Nazrin juga dilihat seorang pemerintah yang menjaga tatakelola negeri dengan sempurna serta sentiasa mengutamakan misi memperkasakan ummah di negerinya.
Sultan Nazrin sangat menitikberatkan kelestarian alam apabila sering menyentuh topik berkenaan isu itu dalam ucapannya.
Keprihatinan baginda dalam isu-isu alam sekitar terserlah apabila bermula tahun ini, baginda buat kali pertama telah melantik Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk membantu mempromosikan kempen memelihara alam sekitar.
Malah, baginda turut melantik pengarah beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Perak,Jabatan Pertanian Negeri Perak, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dan Yayasan Perak bagi membantu MAIPk memperkasakan ummah di negeri Perak.
"Kita boleh lihat dalam setiap ucapan baginda pelbagai isu telah disentuh dengan padat dan kritikal tetapi profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
"Baginda juga sangat cakna tentang isu-isu lain selain kepentingan agama Islam, iaitu tentang keterjaminan makanan, kebajikan golongan belia, kebajikan asnaf dan pelbagai isu lagi yang melibatkan kepentingan rakyat," katanya.
Pada 27 Okt tahun lepas, Majlis Raja-Raja sekali lagi melantik Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan 2024.
Pelantikan baginda itu merupakan kali ketiga selepas dilantik buat kali kedua pada 24 Jan 2019 untuk tempoh dari 31 Jan 2019 hingga 2023.
Sebelum itu, Sultan Nazrin telah pun menjalankan tanggungjawab sama bermula 2016 ketika Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Timbalan Canselor (Pentadbiran dan Kewangan) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Prof Madya Dr Anas Md Yusof berkata pelantikan Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bakal memberikan impak yang sangat besar kepada universiti itu.
"Sultan Nazrin merupakan seorang sultan yang sangat mementingkan nilai ilmu dalam kehidupan, bahkan baginda menjadi contoh melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Doktor Falsafah. Dalam titah-titah Tuanku kepada rakyat, kepentingan ilmu sentiasa dititikberatkan baginda," katanya.
Di bawah naungan baginda, USAS menurut beliau, telah berkembang dengan pesat sebagai sebuah Institusi Pengajian Milik Kerajaan Negeri Perak yang menawarkan program-program pembelajaran daripada peringkat diploma sehingga Doktor Falsafah.
USAS kata Anas, juga terkenal dengan dengan program "World Conference of Islamic Thought" (WCIT) yang menghimpunkan pemikir Islam seluruh dunia di Perak bagi membincangkan pembangunan dan perkembangan masyarakat Islam.
"Pelantikan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong memberikan lebih banyak peluang kepada USAS untuk menjadi pemain industri pendidikan yang penting di arena kebangsaan dan juga antarabangsa," kata Anas.
-- BERNAMA