CAKE tuntut ganti rugi RM1.5 juta terhadap pemilik Restoran Salleh
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 19, 2020 11:57 MYT
Ogos 19, 2020 11:57 MYT
Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) hari ini memfailkan saman sivil ke atas pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di Mahkamah Tinggi di sini, menuntut ganti rugi lebih RM1.5 juta susulan penularan COVID-19 di bawah Kluster Sivagangga di negeri ini sejak 28 Julai lalu.
CAKE selaku plaintif mengakui pihaknya mewakili hampir 200 penduduk dan peniaga di daerah Kubang Pasu, termasuk Napoh, dekat sini, yang terjejas akibat penularan wabak bagi kluster tersebut.
Saman ke atas pemilik restoran itu, Nezar Mohamed Shabur Batcha, 57 tahun, yang dinamakan sebagai defendan, difailkan peguam Mohammad Zunun Baihakky.
Dalam writ saman tersebut, CAKE antara lain menuntut defendan membayar wang pampasan RM1.5 juta, ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh mahkamah kelak, ganti rugi khas teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi meruncing dan ganti rugi nominal.
CAKE juga menuntut satu injunksi interim terhadap Nezar bagi menghalang defendan keluar dari kawasan Napoh.
Setiausaha persatuan, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, saman itu difailkan ke atas defendan yang menjadi pencetus kepada Kluster Sivagangga.
CAKE mewakili empat kategori penuntut iaitu pemilik perniagaan, pekerja premis perniagaan, pekerja gaji harian yang terjejas pendapatan, serta penduduk sekitar Napoh dan Megat Dewa.
Ia turut mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Jawatankuasa Peniaga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh serta dua persatuan penduduk di Napoh.
Mohamad Yusrizal berkata, tuntutan penduduk tersebut termasuk tiga pesakit positif COVID-19 di daerah Kubang Pasu.
Sementara itu, Mohammad Zunun memaklumkan, pihaknya perlu menunggu keputusan mahkamah untuk meluluskan tuntutan saman berkenaan.
Katanya, sebaik mahkamah meluluskan, pihaknya akan menyerahkan salinan tuntutan kepada defendan.
Tambahnya, defendan pada ketika ini masih menjalani kuarantin di Hospital Sultanah Bahiyah II di sini.
Sebelum ini, penduduk dan peniaga di sekitar pekan Napoh bercadang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil ke atas pemilik restoran itu yang menjadi punca penularan COVID-19.
Ini berikutan kehidupan hampir 5,000 penduduk terlibat didakwa sengsara apabila tidak dapat mencari rezeki susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di kawasan itu.
Pada 13 Ogos lalu, Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan bagi kesalahan ingkar perintah kuarantin yang dikenakan terhadapnya pada Julai.
#cake
#Kedah
#kerajaan
#Kubang Pasu
#mahkamah
#NGO
#pengguna
#peniaga
#penjara
#PKP
#saman
#TEMCO
#undang-undang