Caj RM5 di Port Dickson: Bayaran bagi jaga kebersihan, fasiliti - MPPD
Sinar Harian
Mac 13, 2023 13:56 MYT
Mac 13, 2023 13:56 MYT
PORT DICKSON: Bayaran RM5 yang dikenakan terhadap pengunjung di sebuah kawasan pantai di sini seperti tular di media sosial baru-baru ini adalah untuk memastikan kebersihan dan fasiliti di kawasan terbabit terjaga.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd Esa berkata, kawasan tersebut adalah di PD Wellness Zone, Telok Kemang yang diselenggara oleh MPPD dan bukan milik persendirian.
"Pihak Majlis (MPPD) telah melantik operator untuk menguruskan tempat terbabit.
"Bayaran RM5 dikenakan oleh pihak operator di PD Wellness Zone, Telok Kemang dengan menyediakan plastik sampah dan bukan untuk pengenaan sewa wakaf," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, selain untuk penjagaan kebersihan dan fasiliti, kutipan itu juga digunakan untuk menambah baik infrastruktur serta landskap di kawasan tersebut.
"Bilangan pengunjung terlalu ramai dan kekurangan tong sampah. Inisiatif yang diperkenalkan ini adalah sebagai pilihan kerana sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung adalah terlalu banyak," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial Facebook apabila seorang pengguna mendakwa dia dikenakan caj RM5 hanya kerana duduk di kaki lima.
"Sekarang ni pergi Port Dickson semua kena bayar eh? Smart betul!
"Kau duduk dekat kaki lima ni, letak tikar pun kena bayar RM5. Bukannya (kami) duduk dekat tapak perkhemahan itu pun. Baik kau 'koba' air laut tu pun kau bayar sewa.
"Majlis Perbandaran Port Dickson, tolong pantau sikit. Takut esok, pasir pantai ini pun dia kira sebutir-sebutir. Bak kata orang pada 'patemak'. Sekian," kata pengguna Facebook itu. -Sinar Harian