Caj kesesakan: Kerajaan perlu teroka penyelesaian moden lebih holistik - Sivaraj

Umavathi Ramayah
Februari 28, 2025 08:30 MYT
Sivaraj berkata, kerajaan seharusnya memberi keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur sebelum mempertimbangkan sebarang cukai tambahan. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneroka penyelesaian moden yang lebih holistik untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara berbanding memperkenal caj kesesakan yang jelas akan membebankan rakyat.
Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran berkata, langkah-langkah seperti sistem pengurusan trafik pintar, perancangan jalan yang lebih efisien serta dasar yang menggalakkan pengaturan kerja fleksibel perlu dipertimbang bagi mengurangkan kesesakan khususnya pada waktu puncak.
"Selain itu, pembangunan ekonomi tidak boleh terlalu tertumpu di Kuala Lumpur semata-mata.
"Sebaliknya, pengagihan pembangunan yang lebih seimbang di seluruh negara akan mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap ibu kota sebagai pusat ekonomi dan sumber pekerjaan utama," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Sivaraj menambah, kerajaan juga seharusnya memberi keutamaan kepada penambahbaikan infrastruktur sebelum mempertimbang sebarang cukai tambahan.
"Penyelenggaraan jalan raya perlu diperkasa kerana keadaan jalan berlubang dan permukaan yang tidak rata membahayakan pengguna," tambah beliau lagi.
Katanya, dasar tersebut tidak praktikal dan tidak adil kerana rakyat tidak mempunyai pilihan lebih baik selain menggunakan kenderaan sendiri.
"Isunya bukan kerana peningkatan jumlah kenderaan tetapi mereka tidak mempunyai alternatif yang boleh diharapkan.
“Sistem pengangkutan awam kita masih tidak efisien, tidak konsisten dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan populasi bandar yang semakin meningkat.
"Kereta api pula seringkali mengalami gangguan, bas tidak menepati jadual dan sambungan last mile juga masih lemah. Dalam situasi ini, melaksanakan caj kesesakan bukanlah satu penyelesaian tetapi satu hukuman kepada rakyat yang hanya ingin pergi bekerja dan mencari rezeki," ujarnya.
Justeru katanya, adalah sesuatu yang tidak relevan untuk membuat perbandingan Kuala Lumpur dengan London dan Singapura kerana kedua-dua bandar tersebut terbukti dengan sistem pengangkutan awam yang terbaik dan bertaraf dunia.
"Di London dan Singapura, rakyat mempunyai pilihan sebenar untuk tidak menggunakan kereta kerana sistem pengangkutan awam mereka boleh dipercayai," jelasnya.
Dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di daerah pusat perniagaan (CBD) sehingga 20 peratus.
Jangkaan itu katanya, dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di bandar antarabangsa.
#lalu lintas #Zaliha Mustafa #caj kesesakan #Kuala Lumpur #Sivaraj Chandran
;