Caj kesesakan dijangka kurangkan 20 peratus kesesakan di Kuala Lumpur - Dr Zaliha
Bernama
Februari 27, 2025 14:50 MYT
Februari 27, 2025 14:50 MYT
Dr Zaliha berkata kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Caj Kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Ringkasan AI
- Caj Kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20% kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
- Kadar Caj Kesesakan perlu cukup tinggi untuk mengurangkan penggunaan jalan tertentu tetapi tidak terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna.
- Kajian oleh MIROS dan MGTC merangkumi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan trafik, dan peningkatan penggunaan pengangkutan awam. JWP akan memastikan jaringan pengangkutan awam diperkukuh serentak dengan pelaksanaan caj ini.
Beliau berkata untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar Caj Kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.
"Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi," katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Azman ingin tahu apakah mekanisme caj kesesakan yang bakal digunakan sekiranya ia dilaksanakan dan jumlah penurunan kesesakan yang dijangka oleh kerajaan.
Dr Zaliha berkata kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion.
Kajian pelaksanaan Caj Kesesakan itu dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
"Kajian itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik, serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj berkenaan diperkenalkan," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan ini.
-- BERNAMA