Caj air mentah: Pulau Pinang tunggu tindakan lanjut dari Kedah

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 27, 2020 13:18 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, tiada sebarang perbincangan rasmi dengan kerajaan Kedah pimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu caj air mentah. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menunggu tindakan yang akan diambil kerajaan Kedah berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap negeri itu.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan antara kedua-dua kerajaan negeri sejak isu tersebut dibangkitkan.
Menurut beliau, perdebatan isu berkenaan juga hanya berlaku menerusi laporan media sahaja.
“Kita menunggu tindakan dari negeri Kedah, apa juga jenis tindakan, apa juga tindakan yang mereka ambil kita akan lihat sebab sekarang cuma cakap dalam surat khabar saja, tidak ada apa-apa yang rasmi (dan) kita menunggu (tindakan Kedah),” kata beliau.
Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Kedah yang mahu membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah.
Menurut Kon Yeow, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini tidak bersetuju dengan saranan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.
“Menteri (Tuan Ibrahim) memang harap atur perbincangan tapi nampaknya MB (Menteri Besar Kedah) tak setuju dengan pandangan menteri… menteri mengakui kalau boleh beri sumbangan tapi Menteri Besar tak minat dengan sumbangan. Dia (Sanusi) mahu raw water charges (caj air mentah) saja dan kita tak setuju,” tambah Ketua Menteri lagi.
BACA: Caj air mentah: Bincang dulu, jangan tolak mentah-mentah - Sanusi beritahu Ramasamy
BACA: Isu air: Kedah mahukan bayaran, bukan sumbangan - Muhammad Sanusi
BACA: Tak wajar Kedah korban hutan tadah air, P. Pinang kaut untung percuma - Sanusi
Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.
Bagaimanapun, Sanusi berkata, pihaknya masih mahu menyelesaikan perkara itu secara rundingan.
Malah Sanusi juga memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan Persekutuan jika Pulau Pinang enggan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah untuk berunding.
Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.
BACA: Caj air mentah: Pulau Pinang tidak akan bayar walau satu sen pada Kedah - Ramasamy
#caj air mentah #pulau pinang #Kedah #sumbangan #PBAPP #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang #Menteri Besar Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #Ketua Menteri Pulau Pinang #Chow Kon Yeow
;