Cahaya panjut Kampung Pida 7 sambut kepulangan perantau

Adie Sufian Zulkefli
April 21, 2023 08:30 MYT
Memasang pelita bagi menyambut anak perantau merupakan tradisi yang diwarisi lebih 15 tahun di Kampung Pida 7, Jerlun, Kedah. - Gambar Astro AWANI
JERLUN: Umum semua sudah mengetahui umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok.
Bagi sekumpulan anak muda di Kampung Pida 7, di sini, mereka mengambil inisiatif membangkitkan suasana kemeriahan sambutan dengan memasang pelita bagi menyambut anak perantau pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ibu bapa dan ahli keluarga.
Menurut pengelola pelita kampung, Mohd Azrul Asraf Rosli, 28, tradisi yang diwarisi lebih 15 tahun ini terus dipertahankan dengan memasang pelita menghiasi pintu gerbang menambah keceriaan dalam suasana berbeza tahun ini.
Katanya, kerja-kerja memasang pelita berkenaan dilakukan secara bergotong royong sejak 26 Ramadan lalu.
Mohd Azrul berkata, bermula dengan mencari buluh untuk dijadikan tiang pelita, mereka juga membahagi tugas termasuk mengutip wang dari setiap rumah penduduk untuk menampung kos membeli minyak dan peralatan lain.
“Kita nak sambut orang luar balik, nak sambut dalam kemeriahan suasana kampung terutama Kampung Pida 7 memang kita kekal tradisi ini sudah 15 tahun untuk kita sambut anak-anak kampung kita balik dari luar untuk sambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Bagi rakannya, Mohd Al Hafiz Ali, 29, pula, penglibatan anak-anak muda di kampung ini untuk memasang pelita bukan hanya dalam kalangan mereka yang berusia 20-an dan ke atas sahaja.
Sebaliknya, kata Mohd Al Hafiz, terdapat juga anak-anak kampung yang masih bersekolah termasuk di sekolah rendah turut sama-sama menyumbang tenaga menjayakan aktiviti ini.
“(Jumlah anak muda) dalam 20 hingga 30 orang terlibat bermula seminggu sebelum raya kami mula buat projek ini daripada pacak pelita lampu dan dalam masa dua tiga hari baru siap semua dan masuk hari ketiga baru boleh menyala lampu pelita,” ujarnya.
Untuk projek memasang pelita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Khairul Zaini Ghazali, 32, berkata, lebih 500 unit pelita digunakan dengan dekorasi pelbagai bentuk beserta ucapan ‘Selamat Hari Raya PD7’.
Bagi menambah keceriaan, katanya, mereka turut menambah kilauan lampu led menghiasi pintu gerbang yang dipasang di batas titi yang menjadi laluan pintu masuk ke Kampung Pida 7.
Katanya, cetusan idea kreatif daripada orang lama turut memberi inspirasi baharu kepada generasi muda.
Seorang lagi penduduk, Noratikah Mohd Ghazali, 34, berkata, kesepakatan dan semangat yang ditunjukkan anak muda kampung menjadi kebanggaan melakukannya tanpa mengenal erti lelah.
“Saya rasa bangga sebab depa (mereka) sepakat buat semua ini untuk sambut anak-anak muda dari perantauan balik ke kampung… tengok hari ini pun banyak orang memberhentikan kereta dekat atas batas untuk ambil gambar,” kata Noratikah penuh bangga.
Turut sama merasai kemeriahan Liana Azmi, 35, dari Kampung Kubang Melele yang sanggup datang sejauh 10 kilometer semata-mata untuk merakam gambar bersama ahli keluarga.
Katanya, dia tidak sabar untuk datang untuk berkongsi kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama penduduk kampung di sini.
#panjut #pelita raya #Hari Raya Aidilfitri #Kampung Pida 7 Jerlun
;