CAEXPO 2019 bantu capai sasaran 30 juta pelancong TMM2020

Afiezy Azaman
September 22, 2019 11:56 MYT
Isham (kiri) semasa melawat pameran di CAEXPO 2019, Nanning, China. Astro AWANI
Kepelbagaian dan keunikan produk Malaysia yang dipamerkan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 di Nanning, China membantu promosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Isham Ishak syarikat tempatan juga mengambil peranan dalam usaha mencapai sasaran 30 juta pelancong pada tahun depan.
"Kementerian turut memberikan logo tahun Melawat Malaysia 2020 kepada semua syarikat di Malaysia yang datang ke CAEXPO 2019 secara percuma untuk membantu dari segi promosi.
"Daripada analisa yang kita dapati, CAEXPO ini sesuai untuk promosi Malaysia tarik pelancong China. Dan tahun ini agak istimewa kerana kita ada enam pintu masuk baru untuk ketibaan visa daripada China dan India.
"Kita ambil kesempatan ini untuk cuba promosikan bahawa kemudahan untuk pelancong China datang ke Malaysia lebih mudah, dan kita dapati pengunjung melawat CAEXPO anggaran satu hingga dua juta orang. Peluang ini sangat baik untuk kita ambil, promosi Tahun Melawat Malaysia 2020, " katanya.
Beliau ditemui pemberita di Astaka Malaysia yang menempatkan 167 syarikat kecil dan sederhana serta agensi kerajaan pada CAEXPO 2019 di Nanning, China, pada Ahad.
CAEXPO 2019 yang ke-16 bermula 21 hingga 24 September melibatkan kerjasama China-ASEAN untuk meningkat hubungan perdagangan serta ekonomi antara negara.
Tahun lepas Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM639.66 juta dan berhasrat mencapai jumlah yang sama bagi tahun ini.
#ASEAN #CAEXPO 2019 #China #ekonomi #India #Isham Ishak #jualan #kerajaan #Malaysia #nanning #pelancong #pelancongan #pintu masuk #promosi #tahun melawat malaysia #Visa
;