Cadangan zon pejalan kaki di George Town perlu kajian terperinci - Exco

Bernama
Ogos 18, 2024 19:19 MYT
H'ng Mooi Lye berkata kajian perlu dilakukan daripada pelbagai aspek seperti infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membuat kajian terperinci berhubung cadangan menjadikan beberapa jalan popular di bandar raya George Town sebagai zon pejalan kaki.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata kajian perlu dilakukan daripada pelbagai aspek seperti infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam.
"Jika kita mahu laksanakan (zon pejalan kaki), kita perlu pastikan infrastruktur dan pengangkutan awam boleh menghubungkan kawasan-kawasan ini supaya orang ramai yang mahu ke situ mempunyai akses. Ketika ini, hanya terdapat pengangkutan bas sahaja, jadi ia mungkin tidak mencukupi.
"Di kawasan pelancongan di Eropah mempunyai trem dan pengangkutan awam yang saya rasa memang mencukupi untuk pelancong atau orang ramai bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain terutama di kawasan zon pejalan kaki," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau mengulas cadangan pakar pengangkutan Rosli Azad Khan di sebuah portal berita baru-baru ini bahawa George Town harus mencontohi konsep kawasan pelancongan di Eropah dengan menjadikan beberapa jalan sebagai zon pejalan kaki dan pengangkutan awam sahaja.
Mengulas lanjut, H'ng berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum ini pernah membuat kajian berhubung cadangan zon pejalan kaki dan pengangkutan awam di beberapa jalan di bandar raya itu, namun ia mendapat tentangan daripada peniaga yang bimbang perniagaan mereka terjejas.
"Sebab itu kita perlu membuat kajian dan menambah baik apa-apa yang perlu sebelum ia dilaksanakan, kita juga perlu mengambil kira semua pihak supaya wujud situasi menang-menang," katanya.
Beliau berkata pihaknya sedar George Town sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara terutama ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu atas pelbagai faktor antaranya makanan dan tarikan lokasi menarik.
Justeru, katanya kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah termasuk menukar beberapa jalan dua hala menjadi sehala supaya ruang tepi jalan lebih luas untuk pengunjung berjalan kaki tanpa bersesak dengan kenderaan.
Selain itu, pihaknya juga menaik taraf dan memperindah lorong-lorong di beberapa lokasi tumpuan dengan memberikan nafas baharu dari segi pencahayaan serta dekorasi serta memastikan lorong berkenaan mempunyai ketersambungan antara satu sama lain.
-- BERNAMA
#pulau pinang #George Town #zon pejalan kaki #kawasan tarikan pelancong