Cadangan wajibkan penggunaan Peranti Pemantauan satu langkah maju

Aizat Sharif
Ogos 3, 2013 13:00 MYT
Langkah kerajaan meneliti cadangan mewajibkan penjenayah yang dibebaskan dengan ikat jamin memakai Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) pada masa depan mendapat sambutan baik dari mantan pegawai polis dan penganalisis jenayah.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd Zaman Khan menyifatkan langkah tersebut sebagai suatu langkah yang maju ke hadapan.
“Pemantauan seperti ini banyak digunakan di Barat seperti di England dimana seseorang penjenayah yang berada dalam perhatian polis dipantau menggunakan peranti ini. Jika dilaksanakan di Malaysia, ianya akan dapat secara langsung mengurangkan perbelanjaan pentadbiran penjara dan juga lokap-lokap polis cumanya pemantauan yang dilakukan itu perlu lebih cekap,” kata Mohd Zaman ketika ditemubual oleh Astro Awani.
Selain itu, pemantauan yang dilakukan pada masa sekarang adalah penjenayah-penjenayah ini akan melapor diri pada balai polis terdekat untuk memantau pergerakkan dan lokasi mereka.
“Memanglah ianya akan konflik dengan hak asasi manusia tapi pokoknya hak asasi orang awam yang hidup secara aman lebih penting, jika penjenayah ini tidak mahu hak asasi mereka disekat, mereka janganlah melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula berkata seandainya pemakaian Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) digunapakai kepada penjenayah yang dibebaskan dengan ikat jamin ianya pasti akan dapat mengesan pergerakkan dan juga perlakuan jenayah yang dilakukan dimana-mana tempat.
“Ianya pasti efektif dan perlu ada orang memantau pergerakkan penjenayah-penjenayah ini. Bagi saya soal hak asasi manusia tidak timbul kerana tiada kompromi dalam menjamin keamanan dan keselamatan orang awam,” katanya.
Langkah perlaksanaan pemakaian EMD ini dicadangkan adalah sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah berprofil tinggi.
#EMD #pemantauan #penjenayah #polis
;