Cadangan wajib silat di sekolah seliaan JAIPk mampu kekang gejala buli - MB

Amirrul Rabbani
Februari 6, 2022 20:34 MYT
Saarani berkata, aktiviti berkenaan mampu memartabatkan lagi seni mempertahankan diri warisan Melayu itu. - Gambar/ Wikipedia
LENGGONG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyambut baik cadangan mewajibkan silat dalam silibus kokurikulum di semua sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Katanya aktiviti berkenaan dilihat mampu memartabatkan lagi seni mempertahankan diri warisan Melayu itu.
Justeru menurut beliau, sebagaimana seni mempertahankan diri lain yang diajar di sekolah-sekolah, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan tersebut.
“Saya fikir cadangan itu tidak ada bercanggah dengan mana-mana perkara berbangkit lain. Di sekolah biasa ada diajarkan seni taekwondo dan karate, jadi berhubung cadangan ini, saya tidak ada masalah,” katanya.
Tambah beliau lagi, nilai positif yang diterapkan dalam silat juga dilihat mampu mengekang gejala buli terutama dalam kalangan pelajar dan murid sekolah.
“Dalam apa juga seni mempertahankan diri, sudah tentu ada nilai disiplin yang diterapkan, apatah lagi seni silat ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, gejala buli ini disebabkan kecelaruan emosi yang mana berpunca daripada pelbagai faktor.
“Justeru saya percaya, dengan silat, ia boleh membantu (membendung gejala buli). Ini kerana dalam silat, pada amalannya ada diterapkan dengan bacaan al-Quran, doa dan ilmu-ilmu agama. Ini juga sebahagian daripada kaedah dan cara mententeramkan emosi,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah, dalam hantaran di laman Facebook pada Khamis, yang memberitahu perbincangan telah diadakan dengan pihak JAIPk bagi memasukkan silat sebagai silibus wajib kokurikulum di sekolah-sekolah seliaan JAIPk.
Dalam hantaran ringkas itu tambahnya, sesi taklimat bersama semua pengetua sekolah yang terlibat akan berlangsung dalam masa terdekat.
Terdahulu, Saarani ditemui pemberita selepas merasmikan Program Moh Sukses SPM Perak 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di Dewan Merdeka Lenggong dekat sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (Nadi) Sungai Siput, Dr S Shanmuga Velu serta Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Dr Yahya Osman.
#Menteri Besar Perak #Saarani Mohamad #silat #buli
;