Cadangan tubuh pasukan jenayah siber mirip Interpol perkuat usaha banteras cetak rompak

Bernama
Januari 21, 2025 18:00 MYT
Kerajaan MADANI menurut Ahmad Zahid, komited untuk memperkukuh usaha membanteras cetak rompak digital melalui pindaan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). -FB Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Penubuhan pasukan jenayah siber yang mirip Interpol bagi memperkuat kerjasama dan penguatkuasaan di peringkat serantau dilihat dapat membantu usaha membanteras jenayah cetak rompak digital, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang menyokong penubuhan pasukan itu berkata jenayah cetak rompak digital kini bukan sekadar isu pencurian kandungan atau pencurian kudrat akal, tetapi satu ancaman besar yang boleh melemahkan daya inovasi dan industri kreatif negara.
"Saya turut menyokong penubuhan pasukan jenayah siber yang mirip Interpol bagi memperkuat kerjasama dan penguatkuasaan di peringkat serantau.
"Kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan masyarakat amat diperlukan untuk memastikan jenayah cetak rompak digital dapat dibanteras sepenuhnya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata dalam masa sama Kerajaan MADANI juga komited untuk memperkukuh usaha membanteras cetak rompak digital melalui pindaan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaan menangani isu itu.
Beliau turut menggesa rakyat untuk bersama-sama melindungi hak intelektual dan memacu pertumbuhan industri kreatif demi masa depan negara yang lebih inovatif dan berdaya saing.
-- BERNAMA
#pasukan jenayah siber #mirip Interpol #Ahmad Zahid Hamidi #Cetak rompak
;