Cadangan tubuh Majlis Keselamatan Air dibawa ke Kabinet Januari
Bernama
Disember 22, 2015 08:20 MYT
Disember 22, 2015 08:20 MYT
Kertas cadangan berhubung pembentukan Majlis Keselamatan Air dijangka dibentang untuk kelulusan Kabinet pada Januari depan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Menurut Abdul Rahman, kementerian dan jabatan berkaitan secara amnya menyokong cadangan itu.
Dalam kenyataan Isnin, Abdul Rahman membayangkan kementeriannya akan menjadi pihak utama menyelaras program, aktiviti serta maklumat berhubung kesedaran keselamatan air dan sistem amaran awal.
"Adalah menjadi harapan sebaik Majlis Keselamatan Air dibentuk, semua pihak berkuasa berkaitan dan masyarakat akan memiliki kesedaran lebih tinggi terhadap risiko yang ada dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak tragedi seperti di Air Terjun Belukar Bukit daripada berulang," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye sering membangkitkan keperluan menubuhkan badan itu bagi menyelaras semua perkara berkaitan kes keselamatan air termasuk kejadian lemas.
Terbaru, lima anggota sekeluarga lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit di Hulu Terengganu pada Sabtu lepas.
Mereka yang terkorban ialah Abdul Halim Samian, 44; isterinya Nurul Adila@Salawati Awang, 39; dan tiga daripada empat anak mereka - Nurul Arifah Abdul Halim, 16; Nurul Aina Abdul Halim, 11; dan Nurul Izah Abdul Halim, 10.
Lee dilaporkan berkata insiden lemas adalah satu perkara yang membimbangkan tetapi ia dilihat masih diabaikan.
#Abdul Rahman Dahlan
#Lee Lam Thye
#Majlis Keselamatan Air
#Menteri Kesejahteraan Bandar
#NIOSH
#Perumahan dan Kerajaan Tempatan