Cadangan tanam pokok bukan bemakna kemerosotan hutan asli - Tengku Zulpuri

Diyana Ibrahim
November 19, 2018 20:15 MYT
Menurut Tengku Zulpuri, pengurusan hutan secara berkekalan yang diamalkan di Semenanjung tidak mengakibatkan kemerosotan hutan. - Gambar hiasan
Cadangan menanam semua pokok di kawasan hutan bukan bermakna kemerosotan hutan asli telah berlaku, kata Timbalan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Menurutnya, program penanaman semula adalah bertujuan untuk memulihkan hutan terosot seperti kawasan diteroka, terbakar ribut dan kawasan bekas lombong.
"Hutan simpan kekal (HSK) kita sekarang bertambah. Sehingga 31 Dis 2017, keluasan HSK di Semenanjung adalah 4,811,226 hektar iaitu kira-kira 36.42 peratus daripada keluasan tanah di Semenanjung (13,209,065 hektar).
"Ini merupakan peningkatan sebanyak 23,968 hektar atau 0.5 peratus dari jumlah keluasan HSK bagi tahun 2008 (4,787,258 hektar)," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, data tersebut menunjukkan bahawa pengurusan hutan secara berkekalan yang diamalkan di Semenanjung tidak mengakibatkan kemorosotan hutan.
Tengku Zulpuri berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan keluasan kawasan untuk projek penanaman semula hutan besar-besaran yang akan dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan Pusat Kajian dan Konservasi Hutan Hujan Tropika (TRCRC).
Mengulas mengenai itu, Tengku Zulpuri berkata buat masa ini, kerajaan belum memutuskan cadangan yang dikemukakan TRCRC itu.
Tambahnya, kementeriannya kini juga sedang membuat semakan semula Akta Perhutanan Negara 1984 untuk menambah baik pentadbiran pengurusan pembangunan dan pemuliharaan hutan.
#Akta Perhutanan Negara #Dewan Rakyat #hutan asli #Hutan Simpan Kekal #hutan terosot #pemuliharaan hutan #penanaman pokok #penanaman semula
;