Cadangan tambah peraturan etika berpakaian dipersetujui - Speaker DUN Perak
Bernama
April 22, 2015 08:34 MYT
April 22, 2015 08:34 MYT
Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap yang bermesyuarat semalam bersetuju dengan cadangan untuk menambah peraturan etika berpakaian pada istiadat perasmian pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Speaker DUN Perak Datuk Seri SK Devamany.
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata penambahan peraturan dalam Perkara 10, Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap DUN itu bagi menjaga adab dan adat sebagai anggota dewan.
"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap, kami nak tukar perkara-perkara yang kami rasakan ia perlu dikaji. Dalam peraturan dan perintah tetap tidak memberitahu secara khusus etika berpakaian untuk perasmian (DUN), maka kali ini kami cadang (tambah peraturan) dan memurnikan lagi perkara itu.
"Jadi cadangan kami ialah supaya pakaian anggota dewan sempena istiadat perasmian persidangan DUN pertama bagi penggal baharu hendaklah memakai pakaian 'hari kalung' (hari penuh istiadat)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Beliau berkata Perkara 10, Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap menetapkan yang pertama, Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta.
"Kedua, mesyuarat dewan hendaklah diadakan sekurang-kurangnya tiap-tiap enam bulan tidak melewati antara persidangan terakhir di dalam satu penggal dan persidangan pertama di dalam penggal yang berikutnya dan yang ketiga kami cadang untuk masukkan penambahan peraturan ini," katanya.
Devamany berkata cadangan penambahan peraturan baharu itu akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat akan datang untuk diperjelaskan kepada pihak perundangan negeri sebelum diusul dan dibahas pada persidangan DUN.
Peraturan itu disyorkan berikutan tindakan 26 anggota pembangkang DUN tiba di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan secara berkumpulan dengan berpakaian serba hitam bersempena istiadat pembukaan sidang DUN ke-13 pada 31 Mac lepas.
Sementara itu, Devamany berkata Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang berlangsung hari ini memutuskan wakil rakyat pembangkang Wong Kah Woh (DAP-Canning) perlu mohon maaf secara bertulis berhubung isu beliau diarah keluar Dewan pada 2 April lepas.
"Dewan negeri akan memberi surat kepada Kah Woh dan beliau diberi tempoh 21 hari untuk menjawab surat tersebut," katanya.
Devamany berkata sekiranya Wong tidak memberi maklum balas berkaitan surat itu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan bermesyuarat bagi membincangkan tindakan yang sewajarnya perlu diambil.
"Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan dan tidak perlu diperbesar-besarkan dan saya juga akan tegas dalam mengendalikan dewan. Saya memohon semua anggota DUN termasuk pembangkang tidak mengeluarkan kenyataan akhbar yang boleh memberi pemahaman kabur berhubung perkara ini.
"Keputusan ini mengikut lunas-lunas perundangan dan kami telah berbincang secara mendalam mengenai hal ini dan keputusan telah dibuat jadi ia tidak perlu dipanjangkan lagi," katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diadakan bagi menjelaskan beberapa kenyataan media yang mendakwa kononnya Wong diarah keluar Dewan pada 2 April lalu selepas beliau membuat pembelaan terhadap keselamatan anggota pembangkang.
Ia ekoran berlaku demonstrasi di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 6 April lepas, yang didakwa boleh mengancam keselamatan anggota sidang DUN.