Cadangan tambah aset dan guna teknologi canggih di ESSCom

Bernama
Oktober 27, 2015 07:30 MYT
Dalam Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat ESSCom di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Seorang anggota Parlimen dari Sabah menggesa kerajaan menyegerakan penambahan aset serta penggunaan teknologi maklumat canggih di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi menjamin keselamatan penduduk dan pelancong di kawasan itu.
Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (BN-Keningau) berkata keperluan aset udara, laut dan darat adalah penting memandangkan kawasan pesisir pantai laut di bawah ESSCom begitu luas dan panjang serta bersempadanan dengan sempadan antarabangsa.
"Insiden pencerobohan Tanduo di Lahad Datu tidak lama dulu membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri terutama dalam sektor pelancongan, maka penambahan aset perlu dilakukan segera supaya keberkesanan kawalan keselamatan sedia ada dapat dimantapkan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat ESSCom di Felda Sahabat, Lahad Datu.
Mengenai pelaksanaan penurunan kuasa kepada Sabah, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata rakyat Sabah berharap usaha itu dapat memastikan sistem penyampaian lebih cepat, tepat dan efisien.
"Memang ramai ternanti-nanti penurunan kuasa yang membawa implikasi tersendiri kerana kita sedia maklum suatu ketika dahulu, Sabah mempunyai kuasa ke atas pendidikan dan kesihatan serta bidang kuasa lain," kata Pairin.
Sementara itu, Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) menggesa kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah termasuk melaksanakan semua saranan terdapat dalam laporan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI.
Beliau berkata sejak penubuhan suruhanjaya itu tiga tahun lepas, rakyat Sabah masih tertunggu-tunggu tindakan yang akan diambil bagi mengatasi masalah PATI di negeri itu termasuk yang memiliki kad pengenalan diri atau MyKad.
"Kehadiran ramai pendatang asing tanpa izin di Sabah yang akhirnya memiliki dokumen pengenalan diri termasuk MyKad amat merunsingkan penduduk Sabah di mana mereka bukan sahaja mengganggu ketenteraman tetapi juga keselamatan awam," katanya.
RCI antara lain mencadangkan pembatalan semua MyKad yang meragukan di negeri itu dan mempercepatkan proses pendaftaran semula permohonan untuk MyKad bagi memastikan hanya penduduk tempatan mendapatkan dokumen pengenalan diri itu.
Persidangan dewan bersambung hari ini.
#ESSCom #Joseph Pairin Kitingan #Sabah #Teknologi Maklumat
;