Cadangan Senator DAP tidak bertanggungjawab - Pengerusi PKR Perak
Firdaus Azil
April 27, 2019 16:45 MYT
April 27, 2019 16:45 MYT
Cadangan seorang Senator dari DAP untuk menggugurkan perkataan ‘Agama’ daripada kad pengenalan adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Katanya lagi, alasan Nga Hock Cheh bahawa kenyataan itu telah disalah tafsir adalah tidak berasas kerana beliau merupakan seorang peguam dan mempunyai pengalaman dalam politik.
“Nga Hock Cheh adalah seorang peguam, maka cadangan pengguguran agama di dalam kad pengenalan adalah berniat jahat,” kata Farhash Wafa Salvador yang juga Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata cadangan Nga untuk membuka sebuah kedutaan di Israel jelas memperlihatkan karakter beliau sebagai seseorang yang kurang ilmu polisi pentadbiran negara.
“Isunya bukan saja pada pendirian kerajaan mengutuk kezaliman negara Israel, malah Malaysia tidak pernah mengiktiraf pembentukan negara Israel. Oleh sebab itu kita tidak ada hubungan diplomatik dengan mereka.
“Jadi adalah lemah dari segi pemikiran beliau untuk mencadangkan sedemikian on hindsight,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Farhash Wafa Salvador berkata beliau ingin menasihatkan parti komponen DAP untuk menegur dan mendidik senator mereka demi kesejahteraan dan perpaduan kaum di negara ini.
“Ahli senator mungkin perlu belajar bagaimana untuk memperhalusi kata-kata mereka. Namun yang lebih penting adalah menunjukkan kesungguhan dalam menjamin kedaulatan negara,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Diplomatic
#Farhash Wafa Salvador
#Israel
#kerajaan
#Malaysia
#perpaduan
#PKR
#politik