Cadangan RUU IPCMC dibentang sebelum 25 Nov
Harits Asyraf Hasnan
November 13, 2019 13:40 MYT
November 13, 2019 13:40 MYT
Dewan Rakyat hari ini secara sebulat suara meluluskan supaya cadangan penambahbaikan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dibentangkan selewat-lewatnya 25 November ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang mengemukakan usul itu berkata, cadangan itu sebelum ini dijadual dibentangkan selewat-lewatnya 18 November ini.
Bagaimanapun, katanya Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU itu memerlukan lebih masa untuk meneliti isu yang berkaitan.
“Bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang memerlukan lebih masa bagi membolehkan Jawatankuasa ini meneliti isu-isu yang menjadi perhatian awam dengan lebih menyeluruh dan mendalam sebelum menyedia dan membentangkan penyatanya kepada Dewan ini.
“Bahawa Majlis membuat ketetapan melanjutkan tarikh bagi Jawatankuasa Pilihan Khas ini membentangkan suatu penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang tersebut kepada Dewan ini tidak lewat daripada hari Isnin, 25 November 2019,” katanya ketika membentangkan usul mengenai perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.
Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu memutuskan supaya RUU IPCMC 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas 30 wakil rakyat membahaskannya.
Ketetapan itu dibuat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas Vui Keong mengusulkan perkara tersebut yang bertujuan memperincikan lagi RUU itu termasuk mengemukakan penambahbaikan.
#Dewan Rakyat
#Jabatan Perdana Menteri
#Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU
#Liew Vui Keong
#Parlimen
#PCMC
#Perdana Menteri
#Rang Undang-Undang
#RUU
#Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis
#undang-undang