Cadangan rumah pelacuran untuk warga asing tingkat kes jenayah, maksiat

Sinar Harian
Januari 9, 2024 15:50 MYT
Rosyam meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran bagi mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kewujudan rumah pelacuran bukanlah penyelesaian bagi mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing, sebaliknya ia hanya meningkatkan kes jenayah dan maksiat di negara ini.
Biro Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, agama Islam juga tidak sekali-kali membenarkan kaedah penutupan jenayah dengan jenayah lain.
"Kaedah atau matlamat tidak menghalalkan cara perlu menjadi panduan kerajaan dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran bagi mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat.
Kenyataan itu memberitahu, agama Islam menyediakan satu alternatif dalam usaha mengatasi masalah itu dengan meningkatkan ketahanan diri dan motivasi hidup melalui ibadah dan usaha mendekatkan diri dengan Allah, khususnya amalan puasa.
"Puasa dapat menundukkan nafsu diri dan mengawal akal fikiran agar sentiasa menghormati manusia lain khususnya yang lemah," tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, kenyataan itu mencadangkan isu dibangkitkan Rosyam dilihat dengan teliti dan serius oleh semua kementerian dan agensi yang terlibat.
Jelas kenyataan itu, solusi bagi masalah ini mesti dimasukkan dalam pelan nasional berkaitan tenaga kerja asing di negara ini.
"Ia mesti merangkumi semua latar pekerja asing termasuk penyelesaian pembangunan insani bagi bukan Islam," kata kenyataan itu.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Agama Islam setiap negeri turut bertanggungjawab bagi merangka langkah kerja ke arah membangunkan pembangunan insan dan motivasi hidup warga asing beragama Islam agar mereka sentiasa berada dalam keadaan baik ketika menyumbang pembangunan negara.
"Karamatul Insan (kemuliaan diri) mesti dibina dalam diri setiap warga asing yang bekerja di negara ini selain sentiasa menyuburkan iman dan amal soleh," tambah kenyataan itu. - Sinar Harian
#rumah pelacuran #warga asing #kesan negatif #Malaysia
;