Cadangan projek jambatan Labuan tidak pernah ditarik balik - PM

Bernama
Oktober 23, 2022 04:33 MYT
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan, Labuan, 23 Okt 2022. - Foto BERNAMA
LABUAN: Cadangan projek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok tidak pernah ditarik balik dan telah beberapa kali dibincangkan di peringkat Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Idea cadangan pembinaan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah tidak pernah ditarik balik dan diteruskan seperti biasa.
"Dua tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan, cadangan pembinaan jambatan Labuan dibincangkan di peringkat Kabinet menyentuh dua perkara iaitu yang pertama supaya diteruskan... yang kedua bagaimana formula pelaksanaannya," katanya selepas Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau berkata agak sukar untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan bajet tinggi bagi pelaksanaan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang menelan belanja besar.
"Mungkin pelaksanaannya adalah secara inisiatif kewangan swasta yang melibatkan pihak swasta namun ia perlu dibincang secara menyeluruh kerana mungkin melibatkan pertukaran tanah," katanya.
Ismail Sabri berkata ada cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok melibatkan penambakan kawasan laut namun kerajaan tidak pasti keluasan yang diperlukan.
"Formula terbaik sedang dicari dan pada masa yang sama, Kabinet ingin melihat pelan jangka panjang pelaksanaan pembinaan jambatan ini," katanya.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan mengakui bahawa pembangunan di Labuan agak perlahan meskipun sektor kewangan sudah lama beroperasi.
"Walaupun telah lama Labuan dijadikan hab sektor kewangan tetapi pembangunan Labuan nampak agak perlahan... kita minta Menteri yang menjaga Unit Perancang Ekonomi melihat secara keseluruhan pelan pembangunan Labuan," katanya.
-- BERNAMA
#Jambatan Labuan-Menumbok #projek jambatan Labuan #Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob #Sabah
;