Cadangan pindaan babit MA63 perlu diselesai secepat mungkin - Penganalisis
Astro Awani
Oktober 15, 2021 17:40 MYT
Oktober 15, 2021 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan baharu terhadap Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secepat mungkin.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah dan Politik UKM, Suffian Mansor berkata, isu tersebut yang masih tidak berkesudahan perlu ditamatkan agar tidak melarat kepada keadaan tidak harmoni kelak.
Bahkan, tegasnya, tidak mustahil isu tersebut mengelirukan rakyat dan seterusnya menjadi sentimen politik, lebih daripada usaha pembangunan.
“Harus diingat bahawa Sabah dan Sarawak bukan lagi Sabah dan Sarawak pada tahun 1960-an, ini sudah abad ke-21. Maksudnya, semua sudah berpendidikan tinggi dan mereka akan mempersoalkan.
“Misalnya, kenapa perkara ini tidak dijelmakan dan ini tidak baik kepada Sabah dan Sarawak itu juga kalau ini berpanjangan. Ia akan menjadi perkara negatif di mana kita lihat sering ia dimomokkan dengan pelbagai cara.
“Tapi kalau kita lihat dalam hal ini, ia (momokan itu) tidak membawa kepada pembangunan dan isu penting tersebut tidak diketengahkan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Jumaat.
Jelasnya, pindaan tersebut sebenarnya adalah untuk mengembalikan perkara yang terkandung dalam perjanjian sebelum ini dan bukannya meminda perkara baharu dan perlu disegerakan.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Sarawak membuat cadangan pindaan baharu ke atas Artikel 1(2) dan Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan yang disifatkan lebih komprehensif sekali gus menzahirkan semangat sebenar parti ketika persetujuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963.
Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan-pindaan itu menerusi definisi Persekutuan di bawah Artikel 160(2) adalah penting dan perlu dilakukan supaya MA63 serta fasal di dalamnya diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.
Semangat MA63 | Cadang pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan
Malah jelas Abang Johari, pindaan pada artikel itu juga menzahirkan definisi sebenar Hari Malaysia.
Pada 9 April 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan Dewan Rakyat apabila pengundian dibuat secara belah bahagi.
Pengundian dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggulung perbahasan mengenai pindaan itu mulai jam 9.30 malam.
Keputusan undian yang dijalankan mendapati 138 daripada 221 wakil rakyat mengundi bersetuju RUU itu diluluskan, manakala 59 wakil rakyat tidak mengundi.