Cadangan Perjanjian Malaysia baharu tidak masuk akal - Wan Junaidi

Bernama
Julai 9, 2022 16:01 MYT
Wan Junaidi berkata, MA63 adalah perjanjian dan komitmen yang telah dipersetujui semua pihak semasa pembentukan Persekutuan Malaysia. - JPM
KUCHING: Usul untuk membuat satu Perjanjian Malaysia baharu adalah cadangan tidak masuk akal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata Perjanjian Malaysia sedia ada yang dikenali sebagai MA63, adalah perjanjian dan komitmen yang telah dipersetujui semua pihak semasa pembentukan Persekutuan Malaysia.
Jelasnya apa yang dituntut Sabah dan Sarawak khususnya kini bukanlah untuk merunding semula perjanjian sedia ada tetapi menuntut perkara yang telah dipersetujui.
"Jika kita baca MA63 itu kita boleh lihat di situ letaknya janji-janji kita untuk menarik Sarawak dan Sabah untuk tubuh Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan lembu korban bagi Parlimen Santubong di sini, hari ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang baru-baru ini mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.
Wan Junaidi berkata antara kandungan perjanjian MA63 untuk mempengaruhi Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada masa itu adalah pembangunan yang diketahui Semenanjung Malaysia lebih maju dari Sarawak.
"Ini adalah harapan semua pemimpin kita pada masa itu... adalah untuk Sarawak sama peningkatan pembangunan dengan Semenanjung," katanya.
-- BERNAMA
#Perjanjian Malaysia #MA63 #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #sabah sarawak
;