Cadangan pergi pasar: 'Hamzah nak elak jawab PN dukung golongan kaya, warga asing' - Anwar

Ridauddin Daud
Mei 26, 2024 14:40 MYT
Anwar ketika sidang media selepas melawat Pameran Era Pascanormal Madani di Berjaya Times Square, hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan beliau hampir setiap minggu turun ke warung kecil dan pasar di seluruh negara serta bertanya keadaan rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap kali bertemu rakyat, beliau akan bertanya masalah mereka terutamanya berkaitan harga barangan.
Tegas beliau, cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar Perdana Menteri turun ke pasar sebenarnya adalah untuk mengelak daripada menjawab soalan dikemukakannya.
“Kerja saya hampir saban minggu saya ke warung-warung kecil dan pasar. Ke pasar itu tidaklah setiap minggu.
“Setiap kali saya pergi, saya tanya harga barang, masalah mereka.
“Tetapi, saya ingat dia (Hamzah) nak elak dari menjawab tentang parti itu mendukung tauke-tauke kaya dan orang-orang asing. Itu dia belum jawab,” katanya.
Perdana Menteri sebelum ini bertanya adakah Perikatan Nasional (PN) mahu membantu golongan kaya dan warga asing kerana membantah pelaksanaan subsidi bersasar diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Begitupun, Hamzah tidak menjawab, sebaliknya membalas pertanyaan itu dengan mencadangkan Anwar turun ke pasar basah di sekitar ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan, supaya Perdana Menteri melihat sendiri kenaikan harga barang yang berlaku.
Dakwanya lagi, harga akan terus meningkat sekiranya rasionalisasi subsidi diesel diteruskan kerajaan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia
Perdana Menteri berkata, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.
Menurutnya, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.
#Harga Barangan #subsidi diesel #Anwar Ibrahim #Hamzah Zainudin
;