Cadangan penggabungan SME Bank, BPMB, Exim Bank perlu dihentikan - Veteran UMNO

Astro Awani
Mei 24, 2024 16:50 MYT
Mustapa (bawah, kanan) berpandangan penggabungan tersebut juga bakal menyaksikan proses pengurangan kakitangan, yang mana lebih 95 peratus kakitangan terdiri daripada orang-orang Melayu dan Bumiputera.
KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan SME Bank, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), dan Exim Bank perlu dihentikan kerana melibatkan mandat serta fokus perniagaan yang berbeza dengan kumpulan sasaran yang berlainan.
Menurut Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapa Yaakob, pelaksanaan tersebut dijangka memberikan kesan langsung kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam kategori ‘unserved’ dan ‘underserved’ di Malaysia susulan kurangnya fokus kepada mereka selepas proses penggabungan.
"Fokus SME Bank adalah kepada PMKS di dalam kategori ‘unserved’ dan juga ‘underserved’, iaitu mereka yang sukar mendapat akses pembiayaan di bank-bank komersial kerana tidak mencapai kriteria yang ditetapkan, di mana kriteria itu berteraskan komersial serta keuntungan.
"Sedangkan Bank Pembangunan berfokus kepada projek-projek berskala besar meliputi infrastruktur, maritim dan teknologi tinggi melibatkan pelaburan besar yang majoriti dilaksanakan oleh syarikat-syarikat bukan PMKS.
"EXIM Bank pula berfokus kepada PKS saiz sederhana yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran eksport.
"Tiada pertindihan kumpulan sasaran kerana segmen PMKS yang difokuskan telah ditetapkan oleh pihak berkepentingan dan pemegang taruh," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan institusi kewangan pembangunan (DFI) akan distruktur semula melalui penggabungan BPMB, SME Bank dan Exim Bank.
Mustapa berpandangan penggabungan tersebut juga bakal menyaksikan proses pengurangan kakitangan, yang mana lebih 95 peratus kakitangan terdiri daripada orang-orang Melayu dan Bumiputera.
"Ini akan mencetuskan kebimbangan jika tiada bank yang akan melaksanakan peranan yang selama ini dimainkan oleh SME Bank dalam meningkatkan lagi keupayaan serta prestasi perniagaan PMKS Malaysia," tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan SME Bank sejak 2005 juga banyak membantu membangun dan mengembangkan perniagaan usahawan PMKS dengan memberikan akses pembiayaan dan pembangunan kapasiti oleh subsidiarinya iaitu Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR).
Ujarnya, pencapaian SME Bank sejak penubuhannya amat membanggakan, dengan kira-kira 25,000 PMKS telah dibantu dengan kelulusan pembiayaan mencecah RM45 billion, setakat ini.
"Penggabungan ini tiada memberi sebarang kelebihan daripada perspektif kos dana memandangkan ketiga-tiga bank ini masih bergantung kepada sukuk dan deposit korporat sebagai sumber dana untuk memberi pembiayaan kepada PMKS atau kumpulan sasaran.
"Ini bermakna kos dana masih tinggi dan kadar keuntungan yang kompetitif tidak dapat ditawarkan kepada PMKS," katanya lagi.
"Pilihan terbaik adalah untuk melibatkan bank yang mempunyai CASA (akaun semasa dan akaun simpanan) seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) atau Agrobank dalam proses penggabungan ini agar kos dana dapat dikurangkan, seterusnya kadar keuntungan lebih kompetitif dapat ditawarkan kepada PMKS," jelas Mustapa.
#Penggabungan SME Bank #Belanjawan 2024 #Veteran UMNO #Mustapa Yaakob
;