Cadangan penambahbaikan Akta 711 dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - Azalina
Bernama
Mac 14, 2024 20:15 MYT
Mac 14, 2024 20:15 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan penambahbaikan bagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang antara lain melibatkan mekanisme pemusatan penerimaan aduan kelakuan tidak wajar, dijadual untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata hal itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI dalam membanteras penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pelanggaran integriti khususnya dalam organisasi awam dan swasta.
Beliau berkata cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 itu melibatkan penubuhan sebuah agensi berpusat yang khusus dengan latihan dan tatacara pengendalian yang khas kepada perlindungan pemberi maklumat serta mampu menyelesaikan semua perkara berkaitan Akta 711.
"Ini adalah bertujuan untuk memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur, sistematik dan jelas kepada kedua-dua agensi berpusat dan agensi penguatkuasaan supaya tiada kekeliruan bidang tugas di antara keduanya," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu beliau berkata Rang Undang-Undang Pendanaan Politik masih pada peringkat penelitian dengan kajian sedang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mengambil kira pandangan daripada semua parti politik berdaftar.
Katanya sementara penelitian dijalankan, apa-apa pendanaan politik masih tertakluk antara lain kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001 (Akta 613).
-- BERNAMA
#penambahbaikan Akta 711
#dibentang
#Parlimen
#Azalina Othman Said
#Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010