Cadangan pecah monopoli beras perlu perbincangan bersama - Mat Sabu

Sinar Harian
September 26, 2023 11:59 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran ke-25 di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Sebarang cadangan untuk memecahkan monopoli beras perlu dibincangkan bersama kementerian dan agensi berkaitan sebelum keputusan dibuat.
Ini kerana kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, kerajaan terikat dengan perjanjian bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
"Sekiranya hendak melakukan rombakan itu, ia mestilah melalui perbincangan melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana beras ini merupakan soal keterjaminan makanan," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran Kali Ke-25, di sini pada Selasa.
Menurutnya, cadangan tersebut perlu dilihat secara menyeluruh termasuklah alasan kukuh bagi memecahkan monopoli beras.
"Itu adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian dan pada masa sama soal 'sustainable' juga perlu diambil perhatian," katanya.
Beliau yakin Kabinet akan membuat cadangan atau perubahan dari semasa ke semasa.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memang memikirkan hal ini secara serius.
"Kalau dulunya ayam dan telur dan sekarang kita hadapi beras kerana berlaku kenaikan harga beras import yang begitu mendadak dan tinggi.
"Ia berlaku di seluruh dunia ya. Bukan di Malaysia sahaja," katanya.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, kerajaan mempunyai dua pilihan sama ada melaksanakan monopoli sepenuhnya atau pun mewujudkan pasaran terbuka bagi menambah bekalan beras tempatan di pasaran.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu dan bekalan beras tempatan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu.
“Saya nak lihat agenda (mesyuarat Kabinet terlebih dahulu) tapi saya akan kemukakan perkara baharu yang berlaku (berkaitan isu beras) yang saya akan sampaikan dalam kabinet,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad sekali lagi menasihati pengguna agar tidak terus melakukan pembelian panik sehingga mengganggu bekalan beras.
Menurutnya, kementerian menerima banyak aduan berhubung perkara tersebut.
"Belilah mengikut penggunaan biasa keluarga," katanya.
Ditanya mengenai kawasan yang berlaku pembelian panik, beliau berkata: "Kebanyakannya di kampung-kampung contohnya di Pokok Sena hari itu, sebanyak 2,000 kampit beras habis dijual dalam masa sejam setengah sedangkan pengunjung tidak sampai pun 2,000 orang," katanya.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras KPKM, Datuk Azman Mahmood sebelum ini dilaporkan berkata, kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam negara adalah disebabkan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras import.
India yang dikenali sebagai pengeksport bijirin terbesar dunia dengan penguasaan pasaran global sebanyak 40 peratus, mengenakan larangan eksport ke atas beras putih bukan basmati.
Tindakan itu selepas harga beras runcit meningkat tiga peratus bulan lalu, selain berlaku hujan monsun lebat menyebabkan kerosakan besar-besaran pada tanaman.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#harga beras #Mohamad Sabu #Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #BERNAS
;