Cadangan Pakatan laksana CGT beri impak negatif - Najib
Astro Awani
Oktober 12, 2014 22:52 MYT
Oktober 12, 2014 22:52 MYT
Tindakan Pakatan Rakyat untuk mencadangkan Cukai Keuntungan Modal (CGT) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) atau GST adalah satu tindakan yang akan memberikan impak negatif kepada ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, langkah kerajaan untuk meningkatkan kutipan cukai menerusi pelaksanaan CBP adalah betul dalam usaha negara untuk menjadi negara maju.
Katanya CBP yang akan dilaksanakan April tahun depan jauh lebih baik berbanding cukai keuntungan modal yang dicadangkan (CGT) pembangkang.
"Ia bukan preskipsi yang betul. CBP jauh lebih baik daripada cukai keuntungan modal," katanya.
Tambah Najib, cadangan yang dikemukakan Pakatan Rakyat itu juga tidak mesra perniagaan dan menjadikan negara kurang kompetitif.
Najib berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-61 MCA di Wisma MCA, pada Ahad.
Pakatan Rakyat (PR) pada Khamis mencadangkan Cukai Keuntungan Modal bagi Ekuiti (CGT) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan hasil pendapatan negara.
Cadangan itu dikemukakan di dalam Bajet Alternatif PR 2015 dalam satu sesi penerangan mengenainya yang diadakan di Parlimen.